Wednesday, October 13, 2010

Kisah Nur Shahadah peluk islam dari Australia

“J”... Now you are a Muslim

ISLAM merupakan sebuah agama yang tidak pernah memaksa mana-mana pihak mahupun individu untuk memeluknya.

Kenyataan kononnya Islam disebarkan menerusi pedang, merupakan satu propaganda untuk merosakkan reputasi Islam itu sendiri. Sedangkan Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menjadi agresif malah menyeru kepada perdamaian.

Bukan mudah untuk mendapat hidayah keislaman, sesuatu nikmat yang tiada nilainya. Bagi saya yang dilahirkan sebagai seorang muslim, sering kali “take for granted” tehadap keIslaman diri sendiri. Lain pula dengan mereka yang diberi cahaya keimanan dan bukan memeluk Islam kerana tujuan duniawi.

Beberapa minggu lepas, ramai datang bertandang ke rumah saya, apabila ada perkhabaran mengatakan saya akan mengIslamkan seseorang. Ada yang meminta izin untuk menghadirkan diri, kerana tidak pernah menyaksikan upacara sebegini.

Saya amat mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja dengan syarat mereka tidak menganggu proses tersebut apatah lagi menakut-nakutkan bakal saudara baru ini.

Tepat pada jam 5.40 petang, bakal saudara baru ini tiba dengan kereta hitam, berdesup masuk ke laman rumah saya. Beliau tiba bersama dengan anak perempuannya berusia 16 bulan “A”...what a cute little girl.

Saya biarkan dia beramah mesra bersama tetamu saya yang lain di ruang depan rumah supaya beliau dapat menyesuaikan diri dan berada dalam keadaan selesa yang mungkin.Tiba waktu maghrib, saya duduk bersila di hadapan beliau yang sedang duduk bertimpuh, tuduk melihat ke bumi penuh dengan seribu satu persoalan.

Saya bersaksikan tetamu-tetamu yang lain bertanya;

"Are you doing this on your own willingness? Have anybody make or pressure you to rivert into Islam?" Dengan nada lembut dia jawab; "It is my own will and nobody pressure me to convert."

Setiap gerak geri di majlis tersebut dirakamkan agar menjadi dokumentasi bukti supaya tidak menjadi sebarang masalah di hari muka.

Maka saya berkata lagi; "...if you are ready, I will guide you to recite the shahadah. Do you understand the meaning of Shahadah?"

Dia menganguk tanda mengiyakan. Sepi ruang tamu itu. Sehinggakan bunyi detik jam pun boleh kedengaran dengan jelas.

Maka J disarungkan telekong sekadar hormat untuk menutup aurat beliau, sambil diperhatikan oleh A yang duduk gelisah disebelah ibunya. A terkasima melihat ibunya bertudung. "She look pretty in it." lalu ramai yang tersenyum tanda bersetuju dengan keletah si anak kecil ini.

Saya meminta J mengangkat jari telunjuk tangan kanan sekadar simbolik pengucapan shahadah. Beliau menurut tanpa membantah. Semua mata tertumpu tepat menuju pada beliau.

Jantung saya berdebar-debar, berdegup kencang. Takbir, tahmid dan istighfar saya ulangi dalam hati berkali-kali untuk menenangkan diri saya sendiri.

Mata saya memandang tepat ke arah matanya dan menghela nafas panjang.

Saya bermula dengan bismillah; "Bismillahirahmannirahimmmmmm",lalu dia mengikuti dengan tergagap-gagap, gugup.

"AshaduAllah...illa ha..illa Allah..." tersekat–sekat J cuba menyebutnya. Saya ulangi lagi, "Ashadu... Ashadu..." beliau ikut degan nada sayu. "Ia illa ha Illa Allah....Ia illa ha Illa Allah."

"Wa Ashadu..Anna Muhamad Rasul Lu Allah..."Ruang tamu menjadi begitu syahdu, sayu, sunyi, sepi hanya perasaan yang penuh dengan ketenangan menyelubungi setiap jiwa yang hadir.

Sejurus selepas itu, saya melafazkannya pula dalam bahasa Inggeris agar lebih menyatu dalam jiwanya. Begitu lancar butir-butir perkataan keluar dari bibirnya.

Saya tersenyum dan berkata; "Sister, now you are a Muslim."

Beliau memeluk erat anaknya yang dari tadi tidak berkelip memandang ibunya. Linangan air mata berjurai deras, bagaikan butir-butir mutiara mengalir di pipi beliau.

Saya juga dapat melihat beberapa orang tetamu yang hadir sedang mengesat air mata masing-masing. Saya kelegaan, sambil berdoa.."Ya Aiyulah munkalib qulub, sabit qulubana ala dinik" tiga kali, terketar-ketar dengan bergenang air mata.

Qamat dilaungkan oleh salah seorang tetamu yang hadir. Saf didirikan, saya mengimamkan solat maghrib. Surah Al-Fath saya lagukan di rakaat pertama,dengan emosi yang tidak boleh dibayangkan menyerap setiap harfiah bacaan saya.

Selesai solat, beliau membisikkan betapa bacaan dalam solat tadi amat menenangkan, tidak pernah dia merasa begitu tenang dalam hidupnya walaupun sudah 30 tahun mengenal akan dunia ini.

Kelibat beliau sebelum ini begitu sinonim dengan sifat "grumpy", namun selama berada di teratak hina kami beliau begitu gembira. Senyuman dan gelak ketawa tidak pernah lekang. Nyata terpancar cahaya keimanan menyelubunginya, sesuatu yang jarang kami nampak dari wajah manusia bernama “J” ini.

Sebelum “J” pulang, beliau pohon untuk memilih nama yang sesuai untuk dirinya. Beliau ada membawa lebih daripada 15 nama. Semua nama yang “J” bawa begitu menarik bunyinya, namun ada yang berkata kenapa tidak menggunakan sahaja nama Nur Shahadah, sempena dengan cahaya pengislaman beliau.

Congratulation J. G. Now you are a muslim and we call you Nur Shahadah...

PENULIS merupakan Honorary Visiting Scholar di University Of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email asani@unimelb.edu.au



Sunday, October 10, 2010

Hari Valentine Bertentangan Dengan Syariat Islam

BUDAYA menurut Kamus Dewan bermaksud tamadun, peradaban dan keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan cara bertindak serta segala hasil kegiatan atau amalan kerohanian sesuatu masyarakat.

Islam menggalakkan umatnya berbudaya kerana akal menjadikan manusia makhluk bertamadun dan berperadaban. Dalam hal ini, Islam menggariskan prinsip kebudayaannya tersendiri seperti terkandung dalam al-Quran dan hadis. Dengan itu, akan lahirlah budaya hidup Muslim hakiki berteraskan iman dan takwa.

Hal ini sama sekali berbeza dengan kebudayaan bukan Islam yang prinsipnya dibentuk, dibina dan dikembang oleh pemikiran manusia berdasarkan hawa nafsu dan pengalaman hidup mereka semata-mata.

Sebenarnya golongan yang tidak senang dengan Islam cuba merosakkan budaya dan peradaban umat Islam dengan pelbagai cara. Mereka berusaha melalaikan umat Islam dengan pelbagai bentuk budaya dan peradaban bercanggah dengan syarak.

Apabila umat Islam lalai dan leka, mereka akan meminggirkan ajaran agama Islam. Terpinggirnya ajaran dan amalan keagamaan dalam diri umat Islam akan menjadikan mereka umat yang lemah dan mudah dipengaruhi unsur negatif.

Snouk Hurgronje, seorang orientalis dan penasihat Belanda di Indonesia pernah menjelaskan bahawa semakin kuat rakyat sesebuah negara yang dijajah itu menganut budaya dan peradaban Barat, maka semakin bebas mereka daripada ajaran Islam.

Pada masa kini, umat Islam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk ancaman budaya. Antara ancaman itu khususnya yang perlu dihadapi ketika menjelang Februari setiap tahun ialah penularan budaya sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai 'Valentine's Day'.

Menurut Ken Swiger dalam artikelnya 'Should Biblical Christians Observe It?' menjelaskan, perkataan Valentine berasal daripada bahasa Latin bermaksud 'yang perkasa, kuat dan kuasa'.

Ini ditujukan khas kepada Nimroe dan Lupercus, tuhan masyarakat Rom. Dalam hal ini, sedar atau tidak seseorang yang menyambut Hari 'Valentine' adalah sama seperti menghidupkan kembali budaya pendewaan dan pemujaan patung-patung sembahan masyarakat Rom itu.

Meskipun begitu, sesetengah orang beranggapan sambutan ini kononnya adalah semata-mata untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu sebilangan masyarakat Melayu pun tidak terkecuali daripada menyambut Hari Kekasih yang jatuh pada 14 Februari setiap tahun.

Tidak cukup dengan itu, kadangkala sesetengah pasangan yang ingin bertunang dan berkahwin sengaja memilih 14 Februari sebagai tarikh untuk melangsungkan pertunangan dan perkahwinan mereka.

Dengan ini mereka beranggapan kononnya pertunangan dan perkahwinan yang diadakan itu akan dilimpahi dengan rahmat dan keberkatan.
Sebenarnya budaya menyambut Hari Kekasih ini dilihat semakin mendapat tempat dan popular dalam masyarakat Melayu terutama golongan remaja dan muda-mudi yang sedang hangat bercinta.

Bagi mereka tarikh 14 Februari sentiasa diingati dan ditunggu-tunggu. Namun, amat mendukacitakan apabila ingatan mereka terhadap tarikh Hari Kekasih ini mengatasi ingatan mereka terhadap tarikh-tarikh hari kebesaran dalam Islam seperti tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan tarikh berlakunya peristiwa hijrah.

Apabila ditanya mengenai tarikh kelahiran Rasulullah SAW, maka mereka akan tercengang dan terpinga-pinga.

Bukan sekadar itu saja, malah ada sebilangan media massa sama ada media elektronik atau bercetak, tidak terlepas daripada membuat promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang ada kaitan dengan Hari Kekasih. Hal ini seolah-olah mendorong dan menggalakkan lagi sambutan itu.

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan keimanan kita. Dalam hal ini, kita seharusnya sentiasa bersikap waspada dengan sambutan kumpulan agama yang asalnya mempunyai kaitan dengan ibadat atau amalan keagamaan, kemudian ditukar menjadi amalan budaya dan adat.

Amalan ini kemudiannya disambut oleh pelbagai bangsa, termasuk sebilangan umat Islam atas nama budaya dan adat.

Menurut sejarah, ada beberapa kisah berkaitan asal usul sambutan Hari 'Valentine' ini.

l Sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari 'Valentine' pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Dalam sambutan itu, mereka mengorbankan anjing dan kambing betina, kemudian darahnya dilumur pada tubuh dua orang pemuda. Tubuh yang berlumuran darah itu dibasuh pula dengan susu sebelum diarak ke tengah-tengah Kota Rom.

Ketika perarakan berlangsung, pemuda itu memegang kulit anjing dan kambing betina yang masih berdarah dan memalit darah berkenaan kepada sesiapa saja yang mereka jumpa. Gadis-gadis Rom amat gembira jika mereka dipalit darah oleh pemuda terbabit, kerana mereka percaya darah itu dapat menghalang mereka daripada menjadi mandul.

l 'Valentine' adalah paderi paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa kisah mengaitkan paderi Valentine ini dengan sambutan Hari 'Valentine'. Antaranya ialah paderi itu orang penting ditugaskan menjatuhkan Kerajaan Islam Cordova, Sepanyol.

Jasanya adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan itu, tarikh 14 Februari diputuskan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan pada setiap tahun. Hal ini juga sebagai cara untuk mengenang semua jasa paderi Valentine itu dalam usahanya untuk menjatuhkan Islam .

Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita wajib menghindari daripada mengamalkan budaya menyambut Hari Valentine. Ini kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam selain dikhuatiri boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Ingatlah, kesucian Islam akan dapat dipertahankan selagi umat Islam berpegang kuat dengan akidah Islam.